KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan tidak memperjudikan masa depan negeri ini sehingga mampu menggugat kestabilan politik dan kesejahteraan masyarakat yang telah dicapai selama ini.

Tegas Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais, setiap dasar yang dirancang kerajaan termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak akan berjaya dilaksanakan sekiranya tiada kestabilan politik.

“Kita lihat apa yang berlaku di Semananjung Malaysia di mana Kerajaan Pusat kerap kali bertukar disebabkan oleh ahli-ahli politik yang lompat parti.

“Mereka terlalu sibuk untuk berpolitik sehingga mengabaikan tadbir urus dan ini harus dijadikan pengajaran kepada kita semua,” katanya.

Naroden turut mengulas mengenai kejatuhan kerajaan negeri Melaka baru-baru ini yang disebabkan keadaan politik yang tidak tidak stabil.

Menurut Naroden, di Sarawak, kerajaan ditadbir dengan baik dan cemerlang serta mengambil kira pandangan jauh dalam usaha membangunkan negeri.

Malah, kehadiran pelabur asing turut membuktikan bahawa pentadbiran dan pengurusan dana negeri merekodkan prestasi memberangsangkan.

“Sarawak amat bertuah bertuah kerana kita ada pemimpin yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh. Kerajaan GPS di bawah pimpinan Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menunjukkan rekod yang amat baik.

“Kita di antara destinasi pelaburan pilihan yang utama di Malaysia malah kerajaan GPS boleh menawarkan ‘business friendly policies’, keamanan dan kestabilan yang membolehkan Sarawak maju,” katanya.

Untuk rekod kata Naroden, Sarawak berjaya menarik pelaburan bernilai RM15.7 bilion, kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.