KUALA LUMPUR: Tidak ada pilihan selain menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dalam tempoh pandemik.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sudah tiba masanya negara bersedia dan berhadapan dengan situasi norma baharu termasuklah dalam hal pilihan raya.

Justeru, beliau melihat pihak berwajib perlu mempertimbangkan aspek budi bicara dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kerana fungsi pilihan raya ialah membantu rakyat membuat pilihan terbaik dan memastikan seramai mungkin untuk turun mengundi.

"Dalam konteks PRN Sarawak, apa yang perlu ditekankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah kempen secara maya, namun tidak boleh menutup terus peluang untuk kempen secara bersemuka dijalankan.

"Ambil contoh Singapura, mereka menggalakkan kempen secara maya tetapi kempen bersemuka juga dibenarkan, mengikut SOP tertentu seperti dalam kumpulan kecil, tidak boleh bersalam dan perlu penjarakan fizikal.

"Kempen bersemuka penting bagi membolehkan pengundi berjumpa dan berkomunikasi secara langsung dengan calon dan parti politik terbabit.

"Kita tak boleh halang perkara ini, orang politik tetap dengan gaya politik, mereka tetap nak jumpa pengundi," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam Agenda AWANI, pada Jumaat.

Pada masa sama beliau menutut SPR supaya menjalankan tugas dan peranan dengan lebih efisien, serta tidak mengharapkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata.

"SPR kena lihat ini sebagai isu demokrasi yang besar, bagaimana nak beri ruang kepada proses demokrasi itu berjalan dengan telus tetapi dalam masa yang sama, peka dengan SOP.

"KKM dan SPR kena duduk berbincang, jangan biarkan KKM sendirian buat keputusan.

"Libatkan juga wakil dari parti politik tanpa mengira idealogi. Kita mahu proses demokrasi ini berjalan telus dan lancar," ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November 2021, dan SPR dijangka akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi dalam waktu terdekat.

BACA: DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 3 Nov - Abang Johari


Agenda AWANI: DUN bubar, siap siaga PRN Sarawak