KUCHING: Bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’ kelalan yang dimenanginya sejak dua penggal lalu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

Ketika ini beberapa parti telah meletakkan calon untuk bertanding di kawasan itu antaranya Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Demokratif Progresif (PDP) daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada rakyat yang diwakilinya untuk membuat penilaian pada pilihan raya kelak.

"Lebih ramai lebih meriah.

"Saya percaya majoriti rakyat Lun Bawang di Ba’kelalan akan membuat pilihan yang bijak dan saya serahkan kepada mereka.

"Pusat khidmat saya sentiasa beroperasi di bandar Lawas, kita bantu setiap masa jadi mereka boleh melihat rekod tentang apa yang telah saya lakukan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) diantara Earthlings Coffee Workshop dengan Lawas Highland Estate Coffee Sdn Bhd di Jalan Wan Alwi.

Baru Bian memenangi kerusi berkenaan selama dua penggal sejak 2011 ketika bertanding atas tiket PKR.

Namun beliau menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) selepas dipecat dari PKR pada Mac 2020.