KUCHING: Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin semua muka baharu yang ditampilkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi kerusi yang diwakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kriteria dan pengalaman yang dimiliki calon-calon berkenaan selepas melalui penilaian daripada setiap parti komponen GPS.

"Mereka ini buah-buah pilih... kita sudah buat (penilaian) penglibatan mereka dalam NGO (badan bukan kerajaan), pertubuhan-pertubuhan belia dan kemasyarakatan.

"Mereka ini pemimpin-pemimpin yang kita angkat untuk menjadi pewaris pada masa akan datang. Saya percaya mereka akan dapat membawa atau memenangi kerusi-kerusi di mana mereka diletakkan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya itu menambah, sifat paling penting yang dimiliki oleh calon-calon yang dikemukakan oleh GPS adalah berjiwa rakyat.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Sarawak itu berkata, 25 muka baharu itu juga telah memiliki kehidupan yang hampir stabil.

"Tidak guna kita letakkan seseorang calon itu, tetapi mereka tidak mempunyai jiwa untuk membantu rakyat, dan di sini lah calon-calon yang kita pilih itu adalah calon-calon yang profesional, mempunyai jiwa untuk rakyat.

"Selain daripada itu, kehidupan mereka juga lebih kurang stabil (dari segi) kerjaya dan keluarga mereka.

"Kita tidak mahu seseorang itu terlalu muda... mereka belum berkahwin, selain daripada masih lagi bergelut untuk mengaturkan kehidupan mereka sendiri dan keluarga.

"Jadi, apabila mereka sudah stabil sedikit, berkahwin, serta mempunyai kerjaya yang teratur, boleh kita angkat (sebagai calon)," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata, GPS mampu menang besar pada PRN12 termasuk di kawasan luar bandar.

"Kekuatan kita memang nampak sangat di dalam kawasan luar bandar, dan dalam kawasan bandar pun kecuali di kawasan-kawasan yang majoritinya masyarakat Cina.

"Kita akan ada lawan sedikit daripada parti DAP, tetapi untuk kawasan-kawasan lain, Insya-Allah kita akan dapat menang besar," ujarnya.

Selain itu, Abdul Karim turut menitipkan nasihat agar para pengundi turun menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN12 yang ditetapkan pada 18 Disember ini.

Tegasnya, rakyat Sarawak perlu membuat keputusan berhemah dengan memilih wakil rakyat yang benar-benar boleh membawa kebaikan dan pembangunan kepada negeri ini.

"Sebeum kita memangkah sama ada calon atau parti yang kita pilih itu, (pastikan mereka) boleh membawa kebaikan dan pembangunan kepada kita serta menyatupadukan rakyat dengan lebih erat.

"Ini kerana kita tahu di Sarawak, kita mempunyai pelbagai suku kaum dan agama.

"Jadi, kita perlu jaga keharmonian yang sedia ada... pilihlah parti dan pemimpin yang boleh membawa penyatuan dan keharmonian serta pembangunan kepada negeri Sarawak," katanya lagi.

GPS menampilkan sekurang-kurangnya 25 muka baharu pada PRN12 termasuk di DUN Tanjong Datu, Lingga, serta Tellian.

Abdul Karim telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya untuk empat penggal sejak 2001.

Dalam PRN11 pada 2016, beliau  mengalahkan calon PKR, Abang Junaidi Abang Gom dengan majoriti 4,078 undi.

Abdul Karim mendapat 6,163 undi manakala lawannya meraih 2,085 undi.