BINTULU: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan parti pembangkang di negeri ini sebagai pelik.

Ini kerana ujarnya, mereka mengharapkan agar Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) tidak diadakan dalam masa terdekat.

Malah katanya, parti pembangkang sebelum ini menggesa agar PRN12 dilangsungkan selepas Ordinan Darurat tamat pada 2 Februari 2022.

“Kalau di Semenanjung, parti pembangkang (mendesak) untuk menjalankan PRN, tetapi berbeza pula situasi disini.

“Mereka malah menggesa agar Ordinan Darurat ini diteruskan sehingga tamat tempoh,” katanya.

Abang Jo berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di Bintulu pada Selasa.

Tambahnya, kerajaan pimpinannya akan terus membangunkan negeri itu sekiranya terus diberi mandat dalam PRN12 akan datang.

“Kalau anda memberi mandat yang kuat kepada kami, kerajaan pimpinan saya akan terus berusaha membangunkan negeri Sarawak.

“Belum selesai lagi kerja kami (GPS), kalau pilih kami, banyak lagi hal-hak Sarawak yang akan kami perjuangkan,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenaan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Sarawak bermula 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.

Pengisytiharan darurat itu dibuat selepas mengambil kira empat faktor utama, antaranya keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam akibat penularan pandemik COVID-19.

Ia sekali gus menggantung pelaksanaan pilihan raya bagi negeri itu diadakan.

Bagaimanapun, pada 3 November 2021, penarikan Proklamasi Darurat di negeri Sarawak telah diwartakan susulan titah baginda.