KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan hanya akan mempertaruhkan 27 kerusi untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12  (PRN12) berbanding 47 kerusi seperti yang dirancang sebelum ini.

Menurut Setiausaha PKR Sarawak, Joshua Jabeng, strategi awal sedikit berubah dengan hanya menempatkan 27 calon di setiap kawasan tertentu berikutan fokus utama mereka adalah mahu memenangi PRN-12 berbanding bertanding di semua kerusi.

“Rational strategi ini diguna pakai adalah kami mahu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri berbanding bertanding di semua kerusi semata-mata,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media khas pengumuman calon di Ibu Pejabat Parti Keadilan Sarawak di sini pada Jumaat.

Daripada 27 calon, Joshua mengumumkan bahawa Munan Laja dinamakan sebagai calon PKR bagi DUN Katibas, Roland Engan di Mulu, Abang Zulkifli Abang Engkeh DUN Beting Maro dan Cherishe Ng DUN Batu Lintang.

Munan Laja merupakan Presiden kepada Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan Parti Pekerja Sarawak sehingga beliau sah meletakkan jawatan sebagai presiden pada tahun 2019 dan 2020.

Pada PRN  2016, Roland Engan merupakan calon DUN Telang Usan dimana beliau dikalahkan oleh Dennis Ngau sebanyak 167 Undi.

Dalam pada masa yang sama, bekas calon PKR Abang Zulkifli yang bertanding di DUN Lingga turut mengalami kekalahan dengan 2,943 undi kepada Simoi Peri  (PBB) dan Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman, penyandang dari parti Bebas.

Setakat ini, Chrishe Ng yang merupakan anak kepada Dominique Ng Kim Ho merupakan calon PKR termuda untuk PRN Sarawak tahun ini.

Joshua sendiri akan bertanding di DUN Kakus setelah mengalami kekalahan pada PRN ke-11 kepada penyandang John Siki Tayai.

Antara senarai 22 calon PKR Sarawak adalah Meneng Biris (Opar ), Ahmad Nazib Johari (Tupong), Nor Dahlia Esapian Eyau (Satok), Chrishe Ng ( Batu Lintang), Mahmud Epah (Asajaya), Michael Sawing (Serumbu), Christo Michael (Tarat) dan Senior William Rade, (Tebedu).

Turut tersenarai, Piee Ling (Sadong Jaya), Abang Abdul Kassim ( Lingga), Patrick Khamis (Saribas), Mikael Matthew Abdullah (Bukit Saban), Satu Anchom (Ngemah), M Fauzi Joseph Usit ( Machan), Mohd Arwin Abdullah (Telian), Abdul Jalil Bujang ( Balingian), Ani Amat (Murum), Nor Hafizah Johari ( Bekenu), Zolhadah Suboh ( Lambir), Elias Lipi (Marudi), Philip Jau Ding ( Telang Usan), Racha Balang ( Batu Danau) and Martin Samuel Labo ( Ba’ kelalan).