KAPIT: “Parti Sarawak Bersatu (PSB) boleh bertanding di mana-mana kerusi, itu hak mereka, tapi kalah atau menang rakyat yang tentukan”.

Demikian respon Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi susulan kenyataan Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, mengenai strategi partinya yang akan bertanding di 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Jelas Ahli Parlimen Kapit itu, GPS tidak mempunyai masalah untuk bertembung dengan PSB dan parti-parti lain kerana gabungan itu sudah lama bersedia mendepani PRN12 sejak tahun 2018 lagi.

“Bagi kita GPS, saya pernah kata kita dah lama bersedia sebab pada suatu ketika kita menjangkakan PRN12 diadakan pada 2020. Jadi persediaan kita dah bermula sejak 2019 dan 2018 kita dah mula.

“Saya juga pernah kata track record kita (GPS) sebagai kerajaan boleh dinilai oleh rakyat. Banyak projek rakyat dan bantuan kita hulur kepada rakyat bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka.

"Saya juga yakin GPS akan kekal menjadi kerajaan selepas PRN12 ini," katanya.

BACA: PRN Sarawak: Saya akan pertahan kerusi DUN Bawang Assan - Wong Soon Koh

BACA: PRN Sarawak: GPS kenal pasti calon, bakal umum tidak lama lagi - Abang Jo


Selain itu, ketika ditanya mengenai calon yang bakal menggantikan mendiang Tan Sri James Jemut Masing di DUN Baleh, Nanta berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang tentukan.

Dakwa Nanta, beliau difahamkan, PRS masih dalam perbincangan bagi menentukan calon sesuai untuk ditempatkan di kerusi DUN tersebut.

“Itu sebab parti lain bukan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)... saya tak boleh untuk komen. Jadi biarlah mereka berbincang dan kita jangan ganggu mereka,” ujarnya lagi.