SIBU: Jentera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diingatkan tidak terlalu mengikut emosi susulan tindakan pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong kepada Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sebaliknya, jelas calon GPS DUN Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing, ini adalah masa untuk semua pihak dan parti komponen dalam GPS bersatu bagi membawa kemenangan kepada gabungan itu pada 18 Disember nanti.

“Saya merayu kepada semua ahli SUPP untuk tidak terlalu beremosi dan kita perlu datang serta bekerjasama sebagai sebuah pasukan dengan melakukan yang terbaik untuk Dudong.

“Jika saya seorang pemimpin, atau presiden sesebuah parti dan saya beremosi dan cuba untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan parti lain ianya tidak akan memberi kesan baik kepada sesiapa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama media di Pusat Khidmat PDP Dudong di sini hari ini.

Bagi Tiong, tidak ada istilah ‘kerusi tradisi’ dalam pilihan raya maka mereka berhak untuk meletakkan calon di mana-mana kawasan DUN yang dipertandingkan.

“Kita akan cuba di kawasan ini dan bagi saya tidak ada istilah kerusi tradisi dan setiap parti politik yang mahukan sesebuah kerusi itu perlu mengekalkan jumlah sokongan mereka.

“Jika sesebuah parti tidak mampu untuk mengekalkan sokongan yang dikehendaki maka perlulah lihat kepada parti, apakah isu-isu dan masalah yang timbul.

“Seperti PDP, untuk PRN kali ini kita ada enam sahaja kerusi, kami menganalisis kelemahan kami dan beberapa perkara lain,  tidak ada sebab untuk kami (PDP) menyerahkan perjuangan ini kepada parti lain, ini apa yang saya percaya,” tambahnya lanjut.

Bagaimanapun, sebagai rakan dan parti komponen dalam GPS, Tiong menyeru agar semua pihak terus bergerak ke hadapan dan bekerjasama untuk kebaikan masyarakat yang perlu diselesaikan.

“Inilah tanggungjawab kita sebagai ahli politik, bukan untuk ambil kesempatan demi kepentingan peribadi dan mendabik dada sebagai individu yang berkuasa yang akhirnya membuatkan diri kelihatan seperti orang yang tidak bijak.

“Maka kita perlu melaksanakan semua perkara dalam nilai persahabatan, membuka hati untuk menerima semua masalah dan menyelesaikan isu secara bersama-sama,” katanya.

Terdahulu, pada 3 Disember 2021, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan nama 82 calon yang akan bertanding di semua kerusi DUN Sarawak semasa sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB.

Dalam senarai tersebut GPS telah meletakkan calonnya di dua daripada 20 kerusi tradisi SUPP melibatkan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan Datuk Dr Jerip Susil di Mambong.

Sementara Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata tumpuan kini harus difokuskan kepada 18 kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP dan mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan di semua kerusi terbabit.