SERIAN: Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fatimah Abdullah mengesahkan terdapat calon wanita yang tidak dinamakan semula dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh presiden parti kelak.

Mengulas lanjut, jelas Fatimah, faktor kesihatan antara sebab utama calon tidak dinamakan semula.

"Saya memang tahu siapa yang tidak dicalonkan semua namun biarlah Ketua Menteri sendiri yang umumkan.

"Mereka ini bukanlah digugurkan tetapi atas faktor kesihatan," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Semuja di Dewan Serbaguna Ranchan di sini, pada Selasa.

Namun begitu, beliau berharap agar bilangan calon wanita dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama PBB akan dikekalkan atau ditambah.

"Kita harus melihat secara menyeluruh iaitu fokus utama pilihan raya adalah untuk menang.

"Apa yang penting calon yang dipertandingkan harus berjaya mendapat perhatian penduduk dan mampu memberi kemenangan kepada parti.

"Saya tidak mengatakan calon tersebut akan digantikan dengan lelaki. Tetapi calon lelaki boleh digantikan dengan wanita dan sebaliknya asalkan mampu mencapai objektif pilihan raya," ujarnya.

Untuk rekod, kerusi wanita PBB diwakili Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Semariang), Simoi Peri (Lingga) dan Datuk Rosey Yunus (Bekenu).

Manakala Datuk Amar Jamilah Anu memenangi kerusi Tanjong Datu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Februari 2017 selepas penyandangnya, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

Manakala kerusi wanita DAP dimenangi Violet Yong Wui Wui (Pending) dan Irene Mary Chang Oi Ling (Bukit Asek).