BAU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) tidak menolak kemungkinan pengundi berusia 18 tahun akan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebaik Undi18 dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

Timbalannya, Miro Simuh berkata, GPS yang terdiri daripada gabungan empat parti telah lama membuat perancangan untuk mendepani kumpulan pengundi tersebut.

“Sebab itu bila pembangkang mengatakan bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan, mereka mengatakan bahawa kita (GPS) takut akan Undi18.

“Tidak ada jaminan Undi18 ini akan menyokong mereka (pembangkang), dan kita telah pun melakukan kajian-kajian tertentu untuk kita mendapatkan (sokongan) Undi18 ini, dan kemungkinan Undi18 ini akan terarah kepada kita…,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Mengulas lanjut, Miro yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu berkata, parti PBB juga tidak menyekat suara dan aspirasi yang mahu dibawa oleh pengundi muda.

Namun tambahnya, pembentukan sesebuah kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri perlu dibuat secara matang dan bijaksana demi kesejahteraan rakyat pada masa depan.

“Bukan kita nak mewujudkan satu politik yang bertelagah, tidak tenteram dan seterusnya memberi kesan kepada semua aspek kehidupan kita, baik ekonomi, pendidikan dan sebagainya .

“Jadi, saya menyahut seruan ini (Undi18) dan mereka yang berusia 18 tahun terbuka untuk memilih sesiapa sahaja, tetapi itu terpulang kepada mana-mana parti yang dapat meyakinkan mereka,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Pengundi Muda (Undi18) dan Undi Sarawak berkata dianggarkan 125,000 hingga 135,000 belia di Sarawak akan dinafikan hak mereka sekiranya PRN Sarawak diteruskan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak yang berkuat kuasa 3 November. 

Ini menyaksikan PRN Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh proklamasi darurat diungkai.