KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan kelayakan umur pengundi 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pengundi secara automatik tidak akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak yang akan diadakan pada 18 Disember ini.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau dalam kenyataannya berkata PRN Sarawak hanya melibatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.

“Walaupun kerajaan telah pun mewartakan arahan tersebut, pilihan raya negeri pada kali ini hanya melibatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang Ke-11 pada 3 November 2021, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.

Keputusan itu katanya berdasarkan proses undang-undang termasuk yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

Jelasnya lagi, kerajaan tidak menafikan mahupun mengenepikan hak para belia berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi.

“Saya ingin memperjelaskan di sini bahawa tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini. Malah, Sarawak semenangnya sudah bersedia untuk menerima pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Disember 2021 dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.