SPAOH: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyokong sekiranya kempen secara besar-besaran di rumah panjang dan program berbentuk hiburan disekat sepanjang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak nanti.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak percaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan garis panduan ketat dan menyeluruh untuk melindungi masyarakat daripada jangkitan COVID-19.

“Seperti apa yang berlaku semasa pilihan raya di Melaka baru-baru ini, tidak akan ada lagi perhimpunan awam secara besar-besaran oleh para penyokong bersama calon masing-masing ke pusat penamaan calon.

“Sekatan-sekatan seperti ini adalah untuk kebaikan semua kerana pandemik ini masih lagi bersama kita,” katanya semasa merasmikan Agriculture Community Outreach Programme(AgriCOP) di Ulu Bayor.

Sementara itu, Uggah berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka sangat jelas mengambarkan bahawa rakyat kini dahagakan kerajaan yang stabil.

Jelasnya, hanya kerajaan stabil dan kukuh mampu melaksanakan polisi serta program-program untuk membawa lebih banyak pembangunan serta pencapaian pada negeri ini.

“Kemenangan BN di Melaka bukti rakyat di negeri itu telah sebulat suara menolak ahli politik yang suka mengambil kesempatan yang hanya pentingkan kedudukan mereka daripada menyumbang bakti untuk perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

“Di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) terlalu kuat dan stabil. Jelas terbukti menerusi pembangunan program-program, tidak kira kecil atau besar telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negeri," katanya.

Untuk rekod, PRN Sarawak ke-11 tahun pada 2016 lalu, Uggah berjaya memenangi kerusi DUN Bukit Saban menewaskan pesaingnya Noel Changgau Bucking (PKR) dengan majoriti 4,599 undi.