SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan propaganda 'undi BN undi Zahid jadi PM' sebagai taktik terdesak memburukkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Perkara itu merujuk dakwaan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU15 pada 19 Nov ini.

Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau mengulangi pendirian bahawa parti itu kekal menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dan poster boy BN.

"Dalam pilihan raya ini, macam-macam taktik yang akan diguna pakai semua pihak supaya orang boleh terpedaya, itu jelas menunjukkan mereka dah terdesak sehingga terpaksa menggunakan strategi tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan pemimpin bersama rakyat di Kampung Kuala Sawah di sini hari ini.

Sementara itu, di Kedah, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan memainkan isu pelantikan Perdana Menteri disifatkan sebagai cubaan mengelirukan pengundi.

Beliau berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid sebelum ini telah menetapkan bahawa Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri.

"Saya fikir keputusan itu telah dibawa pula menjadi sebahagian daripada usul-usul dalam persidangan UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Gula Padang Terap kali ke-20 di Kuala Nerang.

-- BERNAMA