SIBU: Proses pengundian di semua 90 pusat mengundi di bawah Parlimen Lanang dan Parlimen Sibu berjalan lancar mengikut garis panduan (SOP) COVID-19 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pusat mengundi yang dibuka seawal jam 7.30 pagi akan melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Bukit Assek, DUN Dudong, DUN Bawang Assan, DUN Pelawan, dan DUN Nangka.

Kesemua DUN tersebut dijangka akan menyaksikan seramai 136,219 orang pemilih akan turun mengundi dengan jumlah pemilih tertinggi dari 82 DUN direkodkan di DUN Dudong dengan 34,955 pemilih termasuk 1,899 pengundi awal.

DUN berkenaan juga mencatatkan jumlah calon teramai dengan lapan calon iaitu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Tiong King Sing, Paul Ling Fong (DAP), Jane Lau Sing Yee (PBK), Wong Hie Ping (PSB), Josephine Lau (ASPIRASI) dan Julius Enchana (PBDSB).

Manakala dua lagi calon bebas yang turut berentap ialah Engga Unchat dan pengiat Youtube terkenal serta pengajar kursus digital, Fadhil Mohd Isa.

Sementara itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua Lower dan Upper Island di DUN Bawang Assan berkongsi tempat mengundi untuk seramai 3,533 pemilih berdaftar.

Mengikut SOP SPR, kawasan mengundi di sekolah berkenaan diadakan di sembilan saluran dengan beberapa laluan khas disediakan untuk golongan tertentu termasuk ibu mengandung dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi mereka yang bergejala atau bersimptom, sebuah khemah khas untuk ujian saringan COVID-19 telah disediakan dengan bantuan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mewajibkan imbasan suhu dan kod QR dibuat oleh pemilih sebelum masuk ke tempat mengundi khas.

Untuk rekod, sebanyak 1,866 Pusat Mengundi dan 3,555 Saluran dibuka hari ini untuk tujuan pengundian dengan seramai 46,565 orang petugas.

Dari segi keselamatan, seramai 7,434 pegawai dan anggota Polis termasuk 3,192 anggota RELA telah diaturgerak untuk bertugas menjaga keselamat dan memastikan kelanncaran di semua pusat mengundi seluruh Sarawak.

Manakala seramai 1,213,769 orang pengundi bakal mengundi di Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sarawak Ke-12 hari ini.

SARAWAK MEMILIH: Dapatkan keputusan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021 di sini