SIBU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) komited untuk melahirkan lebih ramai pemimpin pewaris yang berkaliber serta cemerlang untuk mengukuhkan masa depan parti.

Berpaksikan kepada pembangunan komuniti Dayak di kawasan pedalaman, PRS mempunyai perjuangan yang jelas sekaligus memastikan kemenangan parti itu memberi manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat khasnya penyokong di peringkat akar umbi.

Ketua Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan menegaskan, agenda berkenaan dapat direalisasikan dengan semangat dan komitmen padu Sayap Pergerakan Pemuda PRS dalam pentadbiran parti.

“Pemuda PRS memegang amanah untuk meneruskan perjuangan PRS mengangkat taraf hidup masyarakat luar bandar dengan membentuk pembangunan yang lebih pesat khasnya dalam pendidikan, latihan, perkhidmatan awam, infrastruktur, ekonomi dan perusahaan.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dan membantu bagaimana kita boleh mengoptimumkan bantuan-bantuan perniagaan khasnya yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada rakyat.

“Dengan kemajuan teknologi telekomunikasi, pemuda PRS juga akan terus menjaga perpaduan, integriti dan solidariti antara ahli parti daripada gangguan laporan yang berat sebelah atau tidak adil daripada media atau netizen,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan ke-5 Parti Rakyat Sarawak di Kingwood Hotel pada Sabtu.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu, perjuangan pemuda PRS akan lebih jelas dan berkesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selaras penguatkuasaan Undi18.

“Pemuda PRS akan sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menggerakkan jentera parti bagi mendepanai pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi, dan menggesa agar semua ahli parti untuk bekerjasama rapat setiap masa demi masa depan kepimpinan PRS.

“Kita melihat perkembangan Undi18 ini sebagai satu langkah yang positif kerana dapat membawa lebih ramai belia untuk terlibat dalam dunia politik dan bergerak aktif meningkatkan pencapaian parti dengan lebih menyeluruh,” katanya.