KUCHING: Peranan rakyat menjalankan tanggungjawab dalam amalan demokrasi merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira tua, muda termasuk golongan autistik.

Begitu juga bagi Danial Harish, 20, yang tergolong dalam kalangan OKU turut bersama-sama lebih 1.9 juta pemilih berdaftar di Sarawak turun membuang undi hari ini.

Menurut bapanya, Mahmud Sabli, anak istimewa itu begitu teruja untuk mengundi buat kali pertama di Dewan Serbaguna Kapsel di Kampung Panglima Seman Lama yang merupakan salah satu pusat mengundi bagi Parlimen Santubong.

“Kita hadir seawal jam 7 pagi, sebab saya bawa anak saya yang autisme, jadi kita tidak mahu mengganggu proses mengundi, jadi saya bawa dia awal sedikit.

“Saya tahu perangai, jenis yang ‘happy go lucky’ kalau berjumpa dengan orang ramai dia akan hiperaktif, sebab itu kita datang awal dan selepas itu kita boleh balik.

“Pun begitu, apa yang penting kita telah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di selepas membuang undi di Kampung Panglima Seman Lama di sini pada Sabtu.

Mengakui berlaku sedikit kekeliruan semasa membuang undi, Mahmud berkata ia merupakan pengalaman pertama bagi pengundi baharu terutama OKU.

“Kita sedia maklum di sini (Dewan Serbaguna Kapsel) mempunyai tiga saluran mengundi, dan saluran tiga disediakan bagi pengundi baharu.

“Bila kita tanya balik dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rupanya untuk golongan OKU mempunyai saluran mengundi tersendiri,” katanya lagi.

Ditanya tentang persiapan sebagai pengundi baharu, kata Mahmud ia tidak begitu memberi tekanan kepada Danial.

Sebaliknya, menerapkan kesedaran tentang pentingnya rakyat menjalankan tanggungjawab untuk keluar mengundi.

Untuk rekod Parlimen Santubong memiliki 79,232 pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kerusi tersebut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Nancy Shukri (GPS), Affendi Jeman (Bebas) dan Mohamad Zen Peli (Pakatan Harapan).