Semua pemimpin UMNO di Kelantan berjanji untuk akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti berhubung agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selain komited membantu calon PAS melalui semangat Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perakuan berkenaan dinyatakan kepadanya oleh pemimpin bahagian yang ditemui.

Beliau juga yakin tidak akan berlaku kes ahli atau pemimpin UMNO bertanding atas tiket Bebas kerana kecewa tidak terpilih menjadi calon.

"Kalau PRU lalu kesemua kerusi kita bertanding, namun kali ini akan ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang UMNO tidak akan bertanding melalui konsep pengagihan kerusi bersama PAS.

"Semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian telah menyatakan komitmen akan akur perkara itu, malah akan membantu calon PAS untuk memenangi kerusi di tempat pada PRU-15 nanti," katanya kepada pemberita selepas Program Merdeka Fun Ride 2020 di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini, pada Rabu.

Seramai 250 peserta menyertai kayuhan sejauh 25 kilometer bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata keadaan sekarang juga berbeza berbanding dahulu kerana tiada pemimpin UMNO Kelantan yang bertemunya merayu untuk menjadi calon.

MN merupakan kerjasama di antara UMNO dan PAS yang kini turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).