KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga jam 2 petang esok (Selasa, 22 November).

Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Baginda sebelum ini meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti antara parti-parti politik/gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15 sebelum jam 2 petang ini.

Azhar dalam masa sama meminta ketua-ketua parti mengemukakan nama parti-parti dan Ahli-Ahli Parlimen Bebas sekiranya ada yang bersetuju untuk menganggotai gabungan yang mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi melalui SD oleh ketua parti.

Tambah Ahmad Fadil lagi, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

"Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah," katanya.