PERMATANG PAUH: Sehari selepas diangkat menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan dikejutkan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah kononnya beliau menganjurkan program isi minyak percuma sempena meraikan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhammad Fawwaz berkata tiada sebarang arahan mahupun jadual dibuat berhubung acara yang dikhabarkan akan diadakan di tiga buah stesen minyak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, pada Isnin.

Maklumat itu tular di media sosial pada Ahad dan beliau menyifatkan perbuatan itu adalah cubaan fitnah terhadapnya.

Muhammad Fawwaz berkata, pihak lawan tidak seharusnya menggunakan cara sedemikian untuk menyambut kekalahan mereka dalam pilihan raya kali ini.

IKUTI PAUTAN INI: KEPUTUSAN PENUH PRU15

"Tidak ada mana-mana arahan atau jadual yang ditetapkan untuk adanya isi minyak percuma.

"Sedangkan Kerajaan Persekutuan pun sehingga kini masih kita tidak tahu," katanya dalam kenyataan  pada Ahad.

Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang itu juga  menasihati pihak terbabit untuk bertaubat dan kembali bertakwa kepada Allah.

Tegasnya, anak muda tetap akan bersama mereka yang benar malah beliau turut mendoakan agar mereka yang membuat fitnah dan adu domba itu diberikan kesedaran.

Pada PRU15, Muhammad Fawwaz Mat Jan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 5,272 undi sekali gus meruntuhkan kubu kuat PKR serta legasi keluarga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 40 tahun lalu di kerusi berkenaan.

Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi sementara Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang).