KUALA LUMPUR: Tindakan Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahawa Pakatan Harapan (PH) akan 'mencarinya' jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu ugutan terbuka kepada penjawat awam.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan Timbalan Presiden PKR itu terhadap Tan Sri Azam Baki, tidak sepatutnya berlaku.

"Ugutan dan ancaman ini dibuat semata-mata kerana SPRM menjalankan sisatan ke atas syarikat milikan Rafizi, iaitu Invoke, berdasarkan laporan yang diterima daripada awam.

"Ugutan oleh Rafizi adalah suatu pengakuan terbuka oleh beliau bahawa PH yang didominasi oleh DAP mempunyai rancangan untuk menyalah guna kuasa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang hanya menjalankan tugas.

"Penyalahgunaan kuasa adalah kesalahan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM.

"Ini akan mempunyai kesan buruk terhadap kesemua penjawat awam yang sekian lama telah menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan tanpa berpihak.

"Tidak pernah dalam sejarah negara, seorang pemimpin utama sebuah gabungan politik besar iaitu PH, membuat pengakuan terbuka akan menyalah guna kuasa untuk membalas dendam terhadap penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Deklarasi Profesor Melayu G70 sokong Anwar' tidak wakili MPN - Ismail Sabri

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI



Beliau berkata, tindakan Rafizi itu juga jelas menunjukkan beliau serta pimpinan PH menganggap mereka terkecuali daripada undang-undang dan penguatkuasaan.

"Selari dengan ini, setelah membentuk kerajaan pada tahun 2018, PH bertindak untuk mengugurkan kes rasuah terhadap pemimpin utama PH iaitu Lim Guan Eng, walaupun ini dibantah oleh SPRM," dakwanya.

Beliau dalam pada itu menuntut supaya majlis tertinggi PH termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian dengan segera atas penghinaan dan ugutan terhadap penjawat awam oleh Rafizi.

"Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada kesemua penjawat awam negara?," katanya sambil mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Rafizi.

Rafizi dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru semalam dilapor berkata, PH akan 'mencari' Azam sekira pakatan itu menang pada PRU15.

”Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi.

“Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah,” kata Rafizi.