KUALA LUMPUR: Generasi muda hari ini tidak seperti generasi terdahulu. Dalam dunia yang serba pantas masa kini, darah muda mahukan sesuatu yang efisyen dan tidak mahu terus bernostalgia dengan sentimen lama.

Apatah lagi ketika ini pada waktu desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir rancak diperkatakan, suara golongan itu kini lebih besar yang akan menjadi faktor besar yang menentukan barisan kepimpinan baharu.

Politik hari ini lebih terbuka, mungkin masih ramai yang belum celik soal demokrasi tapi segala maklumat terbentang di hujung jari, gelombang politik baharu sudah kita saksikan pada PRU yang lepas dan pertandingan akan datang ini menjadi pentas yang lebih luas.

Secara amnya ketiga-tiga panel dalam Dialog Tiga Penjuru pada Khamis dihoskan oleh Luqman Hariz tidak menafikan bahawa segala kemungkinan boleh berlaku dalam PRU15 nanti yang mana dijangkakan sukar untuk mana-mana parti atau gabungan untuk merangkul majoriti.

Masing-masing tidak terkejut andai selesai pengiraan undi nanti, berlaku Parlimen tergantung dan akan berlaku tawar-menawar untuk gabungan yang menang meraih sokongan gabungan lain yang sudi bersama membentuk kerajaan.

Namun jelas Timbalan Ketua Penerangan AMK Malaysia, Nabil Halimi, anak muda hari ini sebenarnya secara amnya tidak kisah siapapun yang memerintah, gabungan itu dengan ini, itu dengan itu, tapi yang lebih mengharapkan mereka yang menjadi kerajaan itu menjalankan tanggungjawabnya untuk memastikan rakyat hidup sejahtera.

“Mereka lebih melihat kepada siapa yang boleh memberikan solusi baharu kepada setiap masalah yang ada,” katanya.

Perkataan manifesto kini sudah menjadi hal yang menyakitkan telinga, janji itu dan ini namun banyak yang hanya tinggal janji.

Begitupun kata Nabil ia masih tetap relevan dan perlu ada untuk dijadikan panduan tapi perlu ada struktur yang menghuraikan menjelaskan bagaimana sesuatu perkara dalam manifesto itu dapat dimanifestasikan dari mula sampai ia terlaksana, serta bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada kehidupan rakyat.

“Data, nombor dan fakta adalah perkara yang ingin dilihat oleh pengundi muda,” katanya.

Rentetan daripada kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, Barisan Nasional dilihat yakin dan tetap mempertaruhkan pengalaman panjang dan luasnya untuk membentuk kestabilan kerajaan sepertimana era dahulu.

Namun Ketua Pemuda UMNO Subang, Alfie Zainal menegaskan bahawa UMNO memang yakin tapi tidak terlalu mendabik dada kerana beliau mengakui dan bersedia bahawa mereka boleh kalah, kerana keadaan politik hari ini yang terlalu dinamik.

Sekaligus, beliau menyifatkan bahawa cakap-cakap orang bahawa BN langsung menjauhkan diri daripada membentuk bi-partisan pada PRU akan datang adalah tidak tepat sama sekali.

“Macam mana pun kami harus tawarkan kepada pengundi bahawa undilah dahulu BN sebagai satu parti tunjang yang kuat untuk mentadbir negara secara efisyen.

“Tapi katakanlah selepas PRU nanti tiada kerajaan majoriti, BN terbuka kepada mana-mana partu yang akan membentuk kerajaan kalau kita tak ada majoriti.

“Namun kami akan pilih dan sudah tentu akan memilih gandingan yang akan dapat menyesuaikan diri sesama sendiri,” urjarnya.

Begitu juga parti Pejuang, parti baharu yang baru sahaja mengumumkan pembentukan sebuah gabungan yang diterajui mereka dipanggil Gerakan Tanah Air, yang membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pihak yang memerlukan.

Begitupun kata Exco Hal Ehwal Agama & Dakwah Pejuang Muda, Nur Sulaiman Zolkapli, ada syarat, yakni sesebuah parti yang mahu bekerjasasama dengan mereka itu harus bersih daripada individu yang terlibat dalam skandal salah guna kuasa dan rasuah.

“Tapi selain daripada itu mungkin ada kesukaran kerana prinsip yang berbeza akan menyukarkan untuk kerjasama dijalinkan,” katanya.

Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru, di sini: