SUNGAI SIPUT: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, kajian mendapati gabungan itu sedang mendahului parti-parti lain dalam saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini.

"Sekarang ini, semua kajian beritahu, semua anylist kata Pakatan Harapan sekarang leading, nombor satu.

"Sikit saja lagi mahu menang. Jadi kita kena menang, bukan saja menang Sungai Siput, tapi ambillah kawasan baharu lagi," dakwanya.

Menurutnya, antara kawasan lain yang boleh dimenangi ialah Pasir Salak, Tambun, Taiping di Perak, selain Padang Serai di Kedah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega di Taman Orkid, Sungai Siput pada Isnin.

Hadir sama calon Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong, Loh Sze Yee dan DUN Lintang, Zaim Sidqi Zulkifly.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Zahid jadi PM hanya mainan parti lawan'

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Sementara itu, Anwar berkata, beliau telah mula menjalin hubungan baik dengan pemimpin luar sebagai usaha untuk membantu mengatur semula ekonomi Malaysia.

Dalam masa sama, beliau mendakwa turut mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar di negara-negara berkenaan termasuk China, India, Turkiye dan Indonesia.

"Semua ini untuk apa? Supaya bila kita naik, orang percaya kepada kita, kita boleh panggil dia invest dalam negara ini. Bila dia invest dalam negara ini, rakyat ada kerja, kena buat kerja.

"Bila ekonomi naik, orang meniaga berjaya, pekerjaan banyak, meniaga jalan, jadi selamat rakyat. Itu yang saya katakan sebagai dasar kita, ingat…ekonomi," katanya.

Menurutnya, dalam perjuangan untuk membangunkan semula ekonomi, beliau akan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.