JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sahkan telah melakukan pengisytiharan harta sebagai syarat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Anwar yang juga Presiden PKR itu, kelewatan itu akibat daripada jadual beliau yang agak padat.

"Sudah sudah, selesai dah.. cuma tempoh hari saya belum tandatangan, saya belum pulang ke Kuala Lumpur.

"Selesai dah... tiada masalah," jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status pengisytiharaan harta calon PKR bagi Parlimen Tambun itu.

Sebahagian besar daripada 72 calon PKR pada Isnin telah menyiarkan pengisytiharan aset mereka.

Sebelum ini, media melaporkan, penyataan pengisytiharan harta oleh Anwar Ibrahim masih belum dikemas kini sebagai calon yang bertanding pada PRU15.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli juga baru-baru ini menyatakan, pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU15 berbuat demikian.

Terdahulu, Anwar menghadiri Program Santai Petang di Bandar Baru UDA bersama calon PKR, Akmal Nasir yang bertanding kerusi Parlimen Johor Bahru.