BAGAN DATUK: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat merampas kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana calon PH iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pernah mengalahkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, kini Yang Dipertua Negeri, di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14.

"Walaupun (keyakinan untuk mengalahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak terlalu tinggi tetapi kalau kita dapat undi mencukupi daripada (kaum) Melayu, India dan Cina di sini, kita akan lakar sejarah di Bagan Datuk," katanya.

Anwar, yang bertanding di Parlimen Tambun, berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Harapan bersama calon PH bagi kerusi Bagan Datuk di Arena Selekoh, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk sejak 1995, turut dicabar calon Perikatan Nasional, Dr Muhammad Faiz Na'aman dan calon Bebas, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail. - BERNAMA