IPOH: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin pengundi di Parlimen Tambun bakal memberikan kemenangan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata ini kerana Ahmad Faizal yang bakal berdepan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai rekod perkhidmatan baik selaku penyandang kerusi tersebut, selain pernah menjadi Menteri Besar Perak serta Menteri Belia dan Sukan.

"Beliau merupakan seorang pemimpin yang adil kepada semua rakyat di Tambun tanpa mengira kaum dan agama, sebab itu kita lihat majlis hari ini cukup meriah dan diraikan oleh orang Melayu, Cina dan India.

"Ia membuktikan sokongan yang padu kepadanya. Kita tidak perlu orang luar untuk mewakili penduduk di sini, jadi biarlah penduduk kekalkan keharmonian mereka, kesatuan mereka dengan pemimpin mereka, tidak perlu ada unsur-unsur luar untuk memecahkan perpaduan di Tambun ini, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Klebang Jaya di sini pada Khamis yang turut dihadiri Ahmad Faizal.

Selain Anwar, Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ahmad Faizal selaku penyandang dan Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional) serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Abdul Rahim Tahir.

Tambun mempunyai 160,558 pengundi pada PRU kali ini meningkat 30 peratus berbanding 107,763 pada PRU14.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mengisytiharkan harta seperti dilakukan PH, Azmin yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak berkata bahawa beliau telah melakukannya ketika dilantik sebagai menteri Kabinet dan tidak perlu mengikut cara orang lain.

"Biasanya apabila sesebuah kerajaan dibentuk, jemaah menteri akan menyediakan pengisytiharan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kita telah lakukan. Langkah ini bagi memastikan pimpinan dalam kerajaan seperti pihak eksekutif tidak terjebak dalam amalan rasuah.

"Kita tidak perlu ikut orang lain. Mereka boleh isytihar aset tapi, mereka yang terlibat dalam rasuah pun masih menjadi calon (pilihan raya)," katanya.

-- BERNAMA