MARANG: Kesanggupan Fatimah Ismail, 95, mengundi dalam ambulans di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini hari ini, menjadi lambang kegigihan seorang rakyat yang bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih tampuk kepimpinan negara.

Lebih menarik perhatian, wanita yang mesra disapa Mok Su itu ialah balu bekas Menteri Besar Terengganu Allahyarham Mohd Daud Abdul Samad yang berkhidmat pada 1959 hingga 1961.

Mok Su, yang patah tulang paha kiri dan tidak mampu berjalan sejak 2017 kerana menderita osteoporosis, berkata beliau tidak pernah 'ponteng' mengundi sejak PRU 1959 yang menyaksikan arwah suaminya menang pada pilihan raya itu sekali gus dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu keenam.

"Selagi ada hayat, selagi ada ingatan insya-Allah Mok Su tak akan tinggal (mengundi). Kalau ambulans tidak boleh datang ambil pun Mok Su nak suruh orang datang ke rumah Mok Su (untuk mengundi)," katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi SK Rusila di sini, hari ini.

DAPATKAN KEPUTUSAN TIDAK RASMI DAN RASMI PRU15 DI SINI

Fatimah yang terpaksa menaiki ambulans dari rumahnya di kampung Rusila iaitu kira-kira dua kilometer dari pusat mengundi sejak PRU14, berkata beliau tetap bersemangat mengundi walau apa pun keadaan kesihatannya kerana sedar ia merupakan tanggungjawab sebagai warganegara dan umat Islam.

Sementara itu, kehadiran ibu mentua Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di pusat mengundi sama turut menjadi perhatian kerana warga emas yang juga berusia 95 tahun itu dilihat bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih walaupun dilihat sudah uzur dan perlu dipimpin untuk berjalan.

Dayang Abdullah berkata beliau bangun seawal 4 pagi hari ini untuk bersiap kerana selain mahu memberi sokongan kepada menantunya yang merupakan calon Pas Parlimen Marang, beliau juga mahu menjadi antara yang terawal tiba di pusat mengundi.

"Tok ini hanya lenguh-lenguh, tiada sebarang penyakit. Sihat cara orang tua, sebab itu selagi ada kudrat Tok rasa tiada alasan untuk tidak datang mengundi," katanya yang ditemani anak lelakinya ke pusat mengundi di SK Rusila.

-- BERNAMA