TUARAN: Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk membasmi kemiskinan di seluruh negara termasuk di daerah termiskin jika diberi mandat membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengambil contoh di negeri Sabah, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar kemiskinan di negeri berkenaan perlu diselesaikan segera.

"Saya sengaja baca, 20 daerah termiskin di Malaysia, banyak di Sabah. Kalau saya Ketua Menteri, malu muka saya. Aku pemimpin Sabah, UMNO, Bersatu ke, GRS (tetapi) negeri aku mempunyai daerah paling banyak miskin di negeri ini.

"Saya (Ketua Menteri) gaya dengan protokol dan kereta besar, orang tabik... apa jenis ini?

"Sebab itu kalau kita (PH) perintah, Insya-Allah 20 Novemberi ini, tak payah kata Sabah, mana daerah termiskin (yang) majoriti di Sabah atau Kelantan atau Sarawak, kita mesti selesaikan secepat mungkin," katanya ketika berucap pada Jelajah Mega PH, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) mengklasifikasikan lapan daerah di Sabah sebagai daerah termiskin di Malaysia.

Lapan daerah tersebut adalah Tongod, Pitas, Telupid, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud dan Nabawan.

Presiden PKR itu menambah, PH juga lantang memperjuangkan hak di Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mula dibawa oleh veteran politik, Lim Kit Siang.

"Siapa yang bawa cuti 16 September kerana kita iktiraf Sabah dan Sarawak bersama Malaysia? Kita yang minta tuntut cuti itu dan desakan kuat di Sabah dan Sarawak dan akhirnya, (Datuk Seri) Najib umum," katanya lagi.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!


Dalam masa sama, Anwar yang bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ini mahu rakyat Sabah memberikan sokongan penuh kepada calon-calon daripada gabungan berkenaan.

Katanya, pengundi perlu mempertimbangkan untuk tidak memberikan undi kepada parti-parti kecil kerana ia didakwa tidak mampu membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Parti-parti kecil ini, dia boleh pecahkan undi pembangkang tetapi tidak boleh 'deliver'. Kita di PH, Insya-Allah bila menang di kerajaan Persekutuan kami akan berkhidmat kepada semua… untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Jadi, jangan main sentimen negeri. Saya tegaskan semula, ingat sokong yang bagi pecah-pecah ini (parti kecil), akhirnya yang menang puak sana. Kita kena pastikan kita bersatu," ujar Anwar lagi.

PRU15 | Sokong calon PH, jangan undi parti kecil - Anwar