TASIK GELUGOR: Barisan Nasional (BN) akan membentangkan laporan kesediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bulan depan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri sedang menunggu waktu sesuai untuk mengadakan PRU15, namun sebelum keputusan dimuktamadkan, isyarat yang tepat perlu diberikan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya BN berkata, laporan kesesuaian mengadakan PRU15 akan diberikan selepas beliau bersama beberapa pemimpin tertinggi selesai mengadakan siri jelajah bersama kepimpinan BN seluruh negara.

"Saya belum habis jelajah, tunggulah saya pergi ke seluruh negara bersama rakan-rakan saya, dan kita akan buat laporan kerja, kita hantar kepada parti dan parti akan menghantar laporan tersebut kepada PM.

"Beliau juga adalah naib presiden jadi tidak adalah just a figure of speech, kita hantar laporan, beliau juga ada dalam parti, di mana beliau adalah anggota jawatankuasa pengurusan.

"Beliau juga anggota biro politik parti, di situ kita... saya atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membentangkan laporan hasil daripada lawatan kerja kami ini.

"Dapatan ini kita akan simpulkan dan kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pengurusan dan politik parti sebelum dihantar kepada PM," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Pulau Pinang di Kubang Menerong, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Pada majlis yang sama, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO turut merasmikan Skuad Sabil Pemuda UMNO Pulau Pinang serta beberapa skuad lain.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan BN Pulau Pinang menghadapi PRU15, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tahap kesiapsiagaannya adalah 50 peratus.

Katanya, meskipun BN kalah di negeri ini pada 2008 namun tidak mustahil untuk menang semula dengan percaturan strategi yang tepat dan keseragaman dalam membentuk pasukan menghadapi PRU15.

"Apa strategi dan keseragaman kita dalam membentuk satu pasukan menghadapi pilihan raya kita akan buat kerja tersusun dengan syarat we put our house in order first... jangan ada perbalahan dalaman, jangan ada persengketaan.

"Dan yang paling penting sekali adalah keakraban BN itu, UMNO ,MCA, MIC dan Fans of BN itu berjalan serentak sebagai satu pasukan, satu keluarga yang besar... keluarga pasukan BN," katanya.