KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menegaskan Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab seandainya berlaku sebarang kemudaratan akibat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mungkin diadakan pada musim banjir. 

Katanya, keputusan untuk membubarkan Parlimen seterusnya mengadakan PRU15 pada waktu sebegini membawa bersama risiko yang besar dan pihak yang berwajib tidak boleh lepas tangan.

"Sebarang kemudaratan akibat banjir di Malaysia dan keputusan membubarkan Parlimen sewaktu musim hujan ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Barisan Nasional mesti bertanggungjawab kerana mempertaruhkan nyawa rakyat demi kuasa politik mereka," tulisnya dalam hantaran di Twitter, pada Isnin.


Beliau terdahulu mengucapkan terima kasih kepada penduduk Segambut yang memberi mandat kepadanya untuk mentadbir kawasan itu sejak 2018.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.

Dalam perutusannya, Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.