SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berjaya mendapatkan lebih 15 kerusi Parlimen di Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata sebagai calon perdana menteri untuk BN, beliau turut berharap sumbangan daripada calon-calon di Sabah termasuk di kerusi Parlimen di Libaran.

"Sebagai calon perdana menteri ke-10, saya harapkan sumbangan bahagian ini. Terutama di Zon Lima. Saya percaya Zon Lima boeh sumbang 3, 4 kerusi, Sabah sumbang 15 kerusi.

“Kita sasarkan 15 kerusi termasuk di Libaran. Pembentukan kerajaan bergantung kepada kerusi Sabah.

“Jika Sabah gagal sumbang bermakna kita tidak mampu tubuh kerajaan dan akhirnya sekali lagi kita diperintah kerajaan PH, yang tidak tunaikan janji. 22 bulan kita hidup dalam sengsara,” katanya.



Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di kawasan Parlimen Libaran, Sandakan pada Selasa.

Terdahulu BN dan GRS Sabah meletakkan 25 calon di negeri itu, terdiri daripada 12 calon BN dan 13 lagi GRS.