BANDAR BAHARU: Barisan Nasional (BN) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri Kedah untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jumlah itu diyakini mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat kepada BN ketika ini selain kedudukan Kedah sebagai 'swing-state' yang sentiasa mempunyai kerajaan dari gabungan parti yang berbeza.

"Saya tidak fikir sasaran itu berlebih-lebih... lebih baik kita bercita-cita untuk sampai ke puncak gunung daripada kita bercita-cita hanya berada di kaki gunung, akhirnya kita tidak akan pernah berada di kaki gunung sekalipun,

"Tetapi kalau kita bercita-cita di puncak gunung, sekurang-kurangnya kita akan sampai ke pertengahan gunung, maka saya yakin dengan kepimpinan dan jentera BN Kedah, apa yang kita cita-citakan itu tidak hanya tinggal cita-cita.

"Kita gunakan jeda waktu yang berbaki ini untuk kita hadapi apa saja rintangan termasuk daripada parti-parti yang bersaing dengan kita atau parti-parti yang cuba untuk melakukan political tactics and some other forms to deny our move to capture this country again (taktik politik dan beberapa bentuk lain untuk menafikan langkah kita menawan semula negara ini)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Solidariti Kestabilan Kemakmuran Peringkat Negeri Kedah di Dataran Serdang, Bandar Baharu pada Rabu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai senarai kerusi yang disasarkan, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan memandangkan ianya merupakan salah satu daripada strategi parti.

Tambahnya, dalam merealisasikan hasrat berkenaan, BN tidak boleh bergantung semata-mata kepada pengundi daripada parti komponen BN sahaja, sebaliknya fokus perlu diberikan kepada pengundi muda dan mereka yang pertama kali keluar mengundi.

Semalam, UMNO Kedah meletakkan sasaran untuk menang di lapan kerusi Parlimen di negeri itu dalam PRU15 termasuk dua kerusi yang disandang ketika ini iaitu Baling dan Padang Terap.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Othman Aziz menyatakan kerusi-kerusi yang disasarkan itu adalah melibatkan kawasan Parlimen luar bandar dan pinggir bandar yang memiliki majoriti pengundi Melayu.