KUANTAN: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak, iaitu Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menyifatkan pencalonannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Peramu Jaya merupakan satu tanggungjawab berat untuk dipikul demi rakyat.

Tambah Nizar, meskipun beliau bersyukur diberi laluan, namun tugasnya kini untuk meneruskan perjuangan Najib di Pekan. 

Ditanya sama ada berdepan tekanan atau cabaran untuk membawa 'aura Bossku', ini jawapan beliau: "Itu satu tanggungjawab saya fikir amat berat untuk dipikul kerana ayahanda (Najib Razak) telah lakukan banyak inisiatif pembangunan untuk rakyat.

"Apa pun saya cuba terbaik menjejak langkah ini, ini bukan satu jejak yang mudah untuk dilakukan tapi saya akan berikan terbaik," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.


Jelas Nizar, meskipun baharu pertama kali bertanding di kerusi DUN, namun bukan undi simpati semata-mata yang diharapkan.

Sebaliknya, kombinasi perkhidmatan untuk rakyat menjadi penguatnya untuk mendapat kepercayaan akar umbi.

"Ia kombinasi performance sendiri tapi kita tak boleh harap undi simpati semata mata ye, rakyat mahu lihat pembangunan perkhidmatan kita boleh berikan untuk rakyat setempat. Kita tak melihat undi simpati semata-mata.

"Kami keluarga memang berniat berkhidmat untuk rakyat di Pekan, saya akan teruskan dan lakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya," katanya lagi.