KANGAR: Calon Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, Atan Jasin mengambil pendekatan berbeza berkempen dengan tayangan wayang kulit bagi menghiburkan kira-kira 200 penduduk.

Atan, 43, seorang usahawan, berkata orang ramai bukan sahaja terhibur dengan persembahan wayang kulit malah ia turut memberi peluang kepadanya untuk beramah mesra dengan penduduk.

"Saya rasa gembira apabila melihat raut wajah orang ramai yang kelihatan teruja melihat persembahan wayang kulit.

"Hiburan wayang kulit ini merupakan warisan negara yang harus dijaga dan dimartabatkan kerana mengandungi mesej-mesej baik dan teladan yang berguna bagi membina sahsiah generasi akan datang.

"Sebenarnya orang ramai di Indera Kayangan ini dahagakan hiburan seperti ini.

"Jadi tercetus idea saya nak bawa 'hiburan kampung' ini kerana ada unsur-unsur tersirat yang boleh dipelajari oleh semua lapisan masyarakat," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Anak jati Indera Kayangan itu berkata beliau akan membawa pelbagai hiburan masyarakat sekiranya diberikan mandat memenangi kerusi Parlimen itu.

Anak muda Taman Seri Medan, Mohammad Shuaib Mulah, 22, berkata beliau dan rakan-rakannya terhibur dengan persembahan wayang kulit dari Kumpulan Wayang Kulit Padang Asun Jitra, Kedah selama lebih dua jam itu.

"Selain itu saya dan rakan-rakan boleh melihat sendiri bagaimana proses wayang kulit itu ditayangkan," katanya.

Atan akan bertanding empat penjuru bertemu penyandang Gan Ay Ling (PH-PKR), Lim Weng Khee (BN-MCA) dan Pramoot Puan (PN-Bersatu).


-- BERNAMA