KUBANG PASU: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, mendakwa tindakan kepimpinan UMNO yang mahu supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir merupakan satu helah untuk memastikan tidak ramai pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Menurut Mukhriz, ini menunjukkan sokongan rakyat tidak lagi memihak dan menyebelahi UMNO.

Dakwa beliau, pilihan UMNO untuk mengadakan PRU15 dalam musim tengkujuh ini adalah kerana parti itu sedar bahawa peluang mereka untuk menang lebih tinggi sekiranya jumlah pengundi hanya berada di bawah 60 atau 50 peratus.

Katanya, apabila jumlah yang keluar mengundi rendah, peluang untuk UMNO menang tinggi dan itu terbukti berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"UMNO ingin menggunakan formula sama di mana apabila tidak ramai keluar mengundi dan pada waktu itu UMNO akan mengerahkan penyokong tegar untuk keluar mengundi.

"Zahid Hamidi mencabar kita... dia kata kita semua (pembangkang) takut. Kita hendak jaga kepentingan rakyat, bukan kita takut hendak menghadapi PRU.

"Kami tetap bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya, banjir ataupun tidak banjir, itu memang kerja kami (ahli politik) tetapi kesian kepada rakyat dan kita tahu helah dia (Zahid) itu untuk peratusan keluar mengundi rendah... contohnya di (PRN) Johor, 45 peratus tidak keluar mengundi, tetapi masa itu kerana COVID-19 dan rakyat meluat kerana politik tetapi ini tentang banjir, memang tidak patut sangatlah," tegas Ahli Parlimen Jerlun itu.

Mukhriz berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa dekat Kubang Pasu, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, jentera Barisan Nasional sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini dan turut menyifatkan isyarat diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.