SEMPORNA: Tiga calon yang bertanding di kerusi Parlimen Semporna tidak gentar berdepan dengan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyandang kerusi berkenaan sejak Pilihan Raya Umum ke-9 (PRU9).

Walaupun dianggap sebagai calon 'underdog', mereka akan memberikan saingan sengit kepada Mohd Shafie pada PRU15.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Nixon Abdul Habi, mendakwa banyak perkara yang perlu dijawab oleh Mohd Shafie kepada penduduk Semporna.

"Kita sudah bersedia sekian lama, dan dia akan banyak perkara perlu dijawab kepada orang Semporna. Dia ada banyak yang perlu dijawab... (Contohnya seperti apa?). Dia tahu... Kami telah melakukan persiapan sejak sekian lama," ujarnya kepada pemberita, di sini pada Sabtu.

Jelas Nixon lagi, keputusannya untuk bertanding pada PRU15 dibuat selepas kepimpinan Mohd Shafie didakwa membawa perpecahan.

"Dia selalu cakap mengenai perpaduan tetapi kepimpinannya lebih kepada perpecahan. Ia akan menimbulkan permasalahan bukan sahaja di Semporna, malah di seluruh negeri di Sabah," dakwanya lagi.

Sementara itu calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Arastam Pandorog berkata, pengundi di Semporna perlu memberi peluang untuk melakukan perubahan di kawasan berkenaan.

"Ya kita akui (pengaruh) Presiden Warisan tetapi sebagai pendatang baharu dalam arena politik dan Presiden Warisan telah menyandang 35 tahun bersamaan tujuh penggal di Semporna. Kita harap orang Semporna berfikir di mana membuat perubahan sama ada kepimpinan atau pembangunan daerah ini.

"Maka perlunya kita bertanding untuk menawarkan tawaran daripada PKR demi untuk rakyat," katanya.

Seorang lagi calon mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ab Rajik @ Ab Rajak Ab Hamid berkata, setakat ini, tiada pembangunan berlaku di Semporna sekali gus mendorong dia untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

"Seperti saya tahu, Semporna masih mundur dan penduduk dia masih miskin lagi.

"Orang-orang yang diberi projek oleh Mohd Shafie dulu masa memegang tampuk Ketua Menteri Sabah, (adalah) kroni-kroni dia sahaja," katanya.

Mohd Shafie berdepan saingan empat penjuru di kerusi P.189 Semporna.