KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penggunaan telefon bimbit di pusat pengundian ketika proses pembuangan undi semasa proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Menurut Dr Mahathir, penggunaan telefon bimbit semasa proses mengundi boleh menidakkan kerahsian malah mendorong kepada perbuatan rasuah.

"Parti boleh guna maklumat untuk sogokan. Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang," kata Dr Mahathir dalam hantaran di akaun media sosialnya, hari ini.

Dalam masa sama, Dr Mahathir mengkritik SPR yang disifatkan beliau masih mempunyai banyak kelemahan dalam menguruskan pilihan raya.

Bagaimanapun, dakwa beliau, badan itu tidak mempedulikan saranan yang dikemukakannya.

"Jika tidak dibetulkan, rasuah dan penipuan akan dilakukan dalam pilihan raya," tegas bekas Perdana Menteri itu lagi.

Pada Khamis, SPR mengumumkan tarikh pengundia untuk Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November, manakala hari penamaan calon pula pada 5 November.