JELI: Calon Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencuri tumpuan, apabila telah diiringi dua isterinya ketika hadir ke pusat penamaan calon pada Sabtu.

Zahari berkata, dengan membawa kedua-dua isterinya, Hayati Ismail dan Che Maziah Mustafa telah memberi semangat, dorongan serta sokongan kepadanya.

"Kedua isteri berada di sisi saya sebagai memberi dorongan yang kuat kepada saya. Ia juga dikira sebagai simbolik kepada perpaduan yang erat dalam pertandingan secara sihat pada PRU15 ini.

"Apa yang penting, perlu pandai uruskan masa dan membahagikannya dengan baik (kerja dan keluarga). Ia adalah asas utama. Malah, disiplin dalam kerja juga sangat penting," katanya.

Dalam pada itu Zahari turut diiringi bekas ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed (yang mesra dengan panggilan Tok Pa) bersama 3,000 penyokong yang hadir ke pusat penamaan calon bagi PRU15, hari ini.

Ditanya mengenai sokongan Tok Pa, Zahari berkata, Tok Pa menaruh harapan tinggi terhadapnya untuk meneruskan apa yang dilakukannya (Tok Pa) di Jeli.

"Pada awalnya saya agak terkilan apabila Tok Pa tak nak bertanding, kerana rakyat Jeli masih memerlukannya. Saya sendiri tak mampu untuk buat seperti Tok Pa yang telah membangunkan kawasan ini dari sudut ekonomi, pembangunan dan kepeduliannya kepada rakyat, di mana jasanya amatlah besar.

"Namun, harapan Tok Pa terhadap saya tinggi untuk meneruskan perjuangannya dan saya akan cuba sedaya upaya melakukan seperti apa yang Tok Pa buat selama ini," katanya lagi.

Mustapa telah banyak membawa pembangunan sosioekonomi dalam masyarakatnya.

Antara yang dilakukan Tok Pa adalah Pembinaan Jambatan Persahabatan Malaysia-Thailand. Jambatan sepanjang 120 meter yang merentangi Sungai Golok serta menghubungkan Bukit Bunga, Jeli dengan Ban Buketa, Narathiwat.

Jambatan ini dilengkapi Kompleks Imigresen Bukit Bunga, Jabatan Imigresen, Kastam, Polis, Kesihatan, Perhutanan dan Jabatan Haiwan.

Selain itu, beliau turut mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia-Thailand, kemasukan pelancong luar negara.