PADANG TERAP: Dua pemimpin UMNO yang bertindak memilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN) bakal berhadapan tindakan daripada Lembaga Tatatertib UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan yang diambil Penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib jelas melanggari perlembagaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Kepada rakan-rakan yang sudah keluar dan mengikut kepada parti sudah tentu lah peraturan yang telah disediakan oleh parti itu, kita kira bahawa semua orang tahu dah peraturan-peraturan yang terkandung atau pun peraturan yang menjadi perlembagaan kepada Barisan Nasional.

"Kita cakap macam itu dulu sebab kita sekarang ini sedang menghadapi Pilihan Raya tapi semua orang sudah tahu bahawa kedudukan tiap-tiap daripada kita ini, sebab kita adalah ahli Barisan Nasional dan ahli parti dalam komponen Barisan Nasional, memang jelas melanggari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Persembahan Wayang Kulit oleh Masyarakat Siam di Padang Terap, malam tadi.

Dalam pada itu, Mahdzir turut menzahirkan kekecewaan atas tindakan dua pemimpin terbabit.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib sah bertanding atas tiket PN pada PRU15.

Kedua-dua bekas anggota Kabinet itu sebelum ini yang masing-masing merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menang kerusi masing-masing pada PRU14 dengan menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).

Pengumuman oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu mengejutkan hadirin di Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu bagi PRU15 di Marang, Terengganu malam tadi.

Sebelum ini, kedua-dua mereka digugurkan dari senarai calon mewakili BN seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BN menamakan Rozabil Abd Rahman sebagai calon di Parlimen Arau manakala Shahniza Shamsudin bagi Parlimen Maran.

Pada PRU14, Shahidan menang di Parlimen Arau dengan majoriti 4,856 mengalahkan Datuk Dr Abd Rahman Daud (PKR) dan Hashim Jasin (Pas).


Manakala Abdul Muttalib pula menang di Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (PAS) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR).