KUALA LUMPUR : Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak pernah berbincang mengenai keputusan gabungan itu membentuk kerajaan negeri Perak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH).

Malahan, Naib Pengerusi BN, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu juga belum lagi diadakan setakat ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.

"Maaf ya, Dewan Tertinggi Barisan Nasional tidak pernah berbincang tentang BN dan PH bergabung membentuk Kerajaan Perak.

"Malahan, selepas PRU15, mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum lagi diadakan setakat waktu ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Isnin.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Justeru, beliau kesal kerana Dewan Tertinggi BN diketepikan susulan tindakan penggabungan di Perak dibuat tanpa merujuk kepada beliau selaku Naib Pengerusi BN.

"Saya sebagai Presiden MCA dan Naib Pengerusi Barisan Nasional TIDAK pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung. Entah dari mana keputusan itu dicapai! Dewan Tertinggi BN diketepikan.

"Terkini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula menyokong PH bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan," ujarnya.