KAJANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten dengan kenyataannya sebelum ini iaitu PH mempunyai jumlah kerusi parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan dengan bergabung bersama parti lain.

Namun, beliau tidak mendedahkan parti mana yang akan bersama PH dan menegaskan biar parti berkenaan keluarkan kenyataan masing-masing.

“Seperti apa saya maklumkan semalam, kita sudah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan dengan gabungan parti lain.

“Saya seronok kerana kami menyelesaikan rundingan secara maya namun untuk parti yang terlibat, biar mereka keluarkan kenyataan masing-masing dalam masa terdekat, mungkin malam ini atau esok,” jelasnya kepada media ketika ditemu bual di kediamannya di Sungai Long, Kajang.

Jelasnya, beliau turut yakin akan diberi peluang untuk mengetuai kerajaan.

“Saya yakin akan diberi peluang untuk mentadbir negara.

“Penubuhan parti, kestabilan negara, selamatkan negara dari unsur negatif itu adalah tugas bersama,” jelasnya.

Katanya, beliau juga akur dengan ketetapan Istana Negara berkenaan tempoh masa untuk menamakan calon Perdana Menteri sebelum jam 2.00 petang esok.

PRU15 | Anwar yakin diberi peluang perintah negara

PH semalam memaklumkan mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan, namun keputusan pada PRU15 menunjukkan gabungan itu hanya memenangi 82 kerusi parlimen.

Perikatan Nasional pula disahkan menang 73 kerusi dan kini berunding bersama gabungan dari Sabah dan Sarawak serta mengalu-alukan parti lain untuk bersama membentuk kerajaan kecuali PH.

BN pula menang di 30 kerusi parlimen, namun perlu bergabung dengan mana-mana gabungan lain sekiranya ingin berada dalam gabungan kerajaan.