PADANG TERAP: Gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti 'perkahwinan mutaah' yang tidak akan kekal bersama.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa, gabungan itu hanya bersifat sementara kerana Pas mempunyai pendirian sendiri dalam membuat keputusan manakala Bersatu pula sebuah parti yang penuh emosi.

"Saya fikir gabungan Pas dan Bersatu ini adalah satu perkahwinan yang istilahnya dipanggil mutaah, perkahwinan sementara.

"Pas pun ada pemikiran sendiri dalam nak buat keputusan, Bersatu macam penuh dengan emosi dan saya fikir mereka tak mempunyai pendirian bersama," katanya ketika ditemui media selepas Program Pekebun Kecil Risda Makmur Negeri Kedah di Kampung Musa, Pedu, di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: SPR keluarkan 365,686 kertas undi pos

SEMAK SENARAI CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Mahdzir yang juga penyandang dan calon BN bagi Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengulas laporan mengenai perbezaan pendirian antara Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kerjasama antara parti selepas PRU15.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Susulan itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyanggah kenyataan dibuat Takiyuddin berhubung isu kerjasama dengan BN itu dan menyatakan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk bertindak sedemikian.

Terbaharu, Takiyuddin mendakwa kenyataan beliau berhubung kerjasama dengan BN itu telah diambil di luar konteks.

Selain itu, Takiyuddin juga menegaskan tajuk yang digunakan oleh beberapa media telah mengelirukan pengundi.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata BN kekal mencadangkan nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya diberi mandat pada PRU15.

"UMNO dan juga BN telah memutuskan secara konsensus bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon Perdana Menteri selepas daripada PRU15 jika BN menang.

"Tapi isu ni macam selalu dimainkan oleh pembangkang, pembangkang nak cari jalan untuk nak memecah belahkan kepimpinan dalam BN.

"Kita mencadangkan mengusulkan Datuk Seri Ismail dan keputusan akhir adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya.