KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) kekal menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kerana pengalamannya, kata Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jelasnya, kedudukan Presiden PKR tersebut menerajui barisan kepimpinan baharu dan muda parti itu membentuk gandingan yang relevan untuk pengundi pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

Nik Nazmi mengambil contoh di negara Barat di mana calon-calon veteran masih menerajui pertandingan demokrasi dan mendapat sokongan bukan sahaja daripada generasi mereka tetapi juga golongan muda.

“Di Amerika Syarikat, Joe Biden misalnya, kali pertama beliau bertanding jawatan Presiden pada tahun 80-an, Bernie Sanders juga pada usia yang agak veteran.

“Begitu juga Jeremy Corbyn (di United Kingdom). Walaupun berusia, tetapi mereka punyai penyokong dari golongan muda, malah Corbyn, hampir semua penyokongnya anak muda.”

Kata Nik Nazmi, apa pun persepsinya, sosok individu itu bukanlah segala-galanya tetapi mesej yang ingin disampaikan dan naratif yang mahu dibawa perlu menjadi perkara yang dinilai.

Menurutnya, pengalaman dan susur galur perjuangan Anwar yang membawa kepada kewujudan PKR itu tidak dapat dinafikan.

Malah, tambahnya, ia menjadi kekuatan untuk dirujuk para pemimpin muda yang diberi peluang menduduki kerusi barisan hadapan parti.

“Saya, Nurul Izzah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, kami masuk dalam kancah ini dalam usia 20-an.

"Dan hari ini, kami semua Naib Presiden pada usia kami 40-an, yang mungkin kalau dalam UMNO, saya baru dapat jadi Ketua Cawangan.

“Kalau kita tengok Rafizi (Ramli), usianya 45 tahun. Purata umur Naib-Naib Presiden PKR adalah 47 tahun. Dan saya paling muda, 40 tahun.

"Sementara dalam UMNO, purata umur Naib-Naib Presidennya adalah 67 tahun, kalau tak silap saya.”

Atas sebab itu, beliau yakin gandingan antara Anwar, Rafizi, Nurul Izzah, Amirudin dan Chang menunjukkan PKR mempunyai kombinasi yang dapat memenuhi aspirasi rakyat pelbagai demografi.

PRU15: Gandingan Anwar-Rafizi-Nurul Izzah kombinasi relevan untuk pengundi - Nik Nazmi