LAWAS: Sarawak memerlukan perwakilan satu parti yang besar bagi mengukuhkan pendiriannya di peringkat persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia penting bagi memastikan suara negeri ini dihormati dan tidak tenggelam, terutamanya di Parlimen.

"Hanya dengan 18 ahli Parlimen yang bekerja bersungguh-sungguh, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya meyakinkan Kerajaan Persekutuan menggubal Perlembagaan Pesekutuan.

"Kerana itu, kita mahu kemenangan besar 31 (kerusi) Parlimen supaya kita dapat memastikan bahawa suara-suara kita di Parlimen akan bertambah kuat.

"Ia untuk kita terus memperjuangkan apa yang menjadi hak kita, dari segi perlembagaan, serta Perjanjian Malaysia dan IGC Report (Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan)," katanya selepas melancarkan pelan tindakan 'Blueprint SE*Hebat Sarawak' di sini.

Pelan tindakan itu bertujuan membangunkan perniagaan dan keusahawanan sosial di negeri ini, agar memberikan impak positif dan mengalirkan keuntungan berterusan.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, GPS perlu dilihat utuh kerana ia memperjuangkan hak rakyat.

"Kita di Sarawak ini berhak untuk menerima peruntukan yang lebih besar daripada kerajaan.

"Kita juga berhak seperti rakyat di Semenanjung untuk mendapatkan jalan raya, jambatan yang lebih baik, bekalan elektrik, bekalan air dan telekomunikasi.

"Begitu juga dengan infrastruktur pendidikan, kesihatan dan keselamatan," tambahnya.

Tegasnya, rakyat Sarawak seluruhnya harus bersatu untuk membantu GPS menyumbang kepada kestabilan politik negara, berbanding sebelum ini.