KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan itu turut bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN) dan parti dari Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti lain yang bersedia membentuk kerjasama.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, 20 November 2022.

“GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan Belanjawan 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu menambah GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air.

Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan persetujuan untuk GPS bekerjasama dengan PN, Barisan Nasional (BN) dan GRS bagi membentuk kerajaan.

BACA: PRU15: Sah! GPS sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri - Abang Jo

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 81 kerusi; PN (73), dan BN (30).

Sementara, GPS yang dipimpin Abang Johari mendapat 22 kerusi diikuti GRS yang memperoleh enam kerusi dan Parti Warisan (tiga kerusi).

Dalam pada itu, ketua parti dan gabungan politik perlu memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat jika mereka memperoleh majoriti di Parlimen dan menyerahkan pilihan calon Perdana Menteri kepada istana sebelum 2 petang hari ini.