GERAKAN Tanah Air (GTA) tampil memohon maaf atas kesilapan dalam manifesto yang dilancar pada Khamis malam berhubung ikrar pelantikan Ketua Hakim Negara di bawah Parlimen.

Ketua publisiti GTA Mohd Nizam Mahshar berkata ikrar itu telah dikeluarkan daripada manifesto yang akan diterbitkan sepenuhnya tidak lama lagi.

“Kami kekal teguh dengan pendirian menyokong doktrin pengasingan kuasa dalam kalangan cabang eksekutif dan perundangan kerajaan serta badan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia susulan kritikan bekas hakim kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang berkata sebarang langkah meletakkan badan kehakiman dan pelantikan Ketua Hakim Negara di bawah cabang perundangan (Parlimen) adalah berbahaya kerana menjejaskan doktrin pengasingan kuasa.

Kata Mohd Nizam lagi, GTA kesal atas kekeliruan berhubung ikrar itu yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan anggota badan kehakiman, namun tidak mengulas lanjut.

Beliau berkata Ketua Hakim Negara dan semua hakim tertinggi berperanan sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan sekali gus memastikan semak dan imbang untuk badan eksekutif dan perundangan.