KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) memberi komitmen untuk mengatasi kemiskinan yang dilihat telah melemahkan ekonomi Melayu sehingga tanah air ini terjual.

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan parti itu turut komited memulihkan politik, ekonomi dan kewangan negara.

Tegas beliau, GTA yang terdiri daripada orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah akui hanya orang Melayu sahaja yang faham apa yang dihadapi oleh orang Melayu.

"Dahulu orang Melayu dilindungi, oleh Kerajaan-Kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu UMNO.

"Tetapi UMNO di bawah Najib sudah ubah perjuangan UMNO dari melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO.

"Sebab itu GTA ditubuh untuk melindungi dan memaju orang Melayu, gerakan (yang) akan kembali kepada perjuangan asal UMNO.

"Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu lakukan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata GTA akan menggunakan logo Parti Pejuang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lantaran permohonan pendaftarannya masih belum diluluskan.

Namun, tegasnya, Pejuang seperti juga GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO.

"Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini," ujarnya.