KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) menawarkan manifesto Agenda Baharu Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

GTA yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Agenda Baharu Malaysia berlainan daripada manifesto parti-parti politik lain.

Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan gabungan tersebut tidak akan menjanjikan bulan dan bintang jika berjaya membentuk kerajaan.

Dr Mahathir menjelaskan, daripada pengalaman lepas, GTA mendapati terlalu banyak janji termasuk yang melangkaui keupayaan, menyebabkan ia hampir pasti tidak dipenuhi kerana membebankan kerajaan sehingga ada kepentingan awam terpaksa diketepikan.

Atas kesedaran itu, jelas Dr Mahathir, GTA menawarkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab; bebas rasuah; berpegang kepada prinsip Bersih, Cekap dan Amanah sebagai teras kepada semua lapisan pentadbiran; menebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali menjadi Harimau Asia; dan berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

"Kami percaya, jika kerajaan yang ditubuh berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

"Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari.

"Kebebasan rakyat sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan," katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Agenda Baharu Malaysia.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Dr Mahathir menjelaskan, Agenda baharu Malaysia itu merupakan janji yang mampu dan pasti dipenuhi jika GTA diberi peluang membentuk kerajaan.

GTA terdiri daripada Pejuang, Putra, Berjasa, Iman dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta individu bertanding lebih 120 kerusi pada PRU15.

Dr Mahathir sendiri bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya pada PRU14 lalu.