KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan tiada pertembungan calon antara gabungan itu dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, jaminan itu ekoran persefahaman yang dibuat antara kedua-dua entiti tersebut dan berharap tiada pihak yang memasang calon di sesuatu kawasan yang sudah diputuskan.

Beliau turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli GRS serta BN supaya mengutamakan kerjasama ini sekali gus berhabis-habisan menentang musuh utama iaitu pembangkang.

"Kita sudah buat persefahaman iaitu tidak boleh bertanding antara satu sama lain. Calon GRS bertanding, BN kena sokong dan jika calon BN bertanding, GRS perlu sokong. Itu adalah prinsip kerjasama.

"Kita sudah lama bergaduh-gaduh ini, jadi saya harap tidak perlulah berlawan-lawan ini dan janganlah pasang calon ini dan macam-macam.

"Kita dalam pilihan raya ini musuh politik utama ialah pembangkang," katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-25, Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) di Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai calon GRS bagi berdepan PRU15, Hajiji berkata senarai calon gabungan itu sudah berada di peringkat akhir dan akan mengumumkannya sebelum penamaan calon (5 November 2022).

"Kita boleh nyatakan bahawa kita sudah seakan-akan sampai ke senarai akhir calon (GRS). Malah kita mengetengahkan calon-calon yang boleh menang yang diterima rakyat dan boleh memberi khidmat," katanya.

Mengulas mengenai pengumuman tarikh-tarikh penting PRU15 oleh SPR, beliau berkata, kerajaan negeri sudah bersedia menghadapi PRU15.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wetrom Bahanda, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya.