KUANTAN: Hasrat kerjasama di antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai retorik perpaduan politik.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kerjasama berkenaan bukanlah benar-benar ikhlas sebaliknya parti yang bersungguh-sungguh mahukan perpaduan ummah adalah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.

Malah, Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah melakukan perjumpaan dengan beberapa pemimpin parti-parti politik lain mengajak kepada perpaduan.

"Saya rasa yang menunjukkan kesungguhan untuk mencapai perpaduan ummah adalah daripada kita yang berada dalam Perikatan Nasional (PN), baik Pas baik Bersatu.

"Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya dah secara berterusan sebelum ini berjumpa dengan presiden dan juga pemimpin daripada parti parti lain mengajak ke arah perpaduan.

"Tapi sebenarnya di sebelah parti lain ni, bagi saya, banyak retoriknya.  Kesungguhan yang mungkin belum terbuktilah setakat ini.

"Jadi ini contoh terkini bagaimana ada retorik mengenai perpaduan dan akhirnya yang menolak perpaduan itu bukan kita," kata Wan Saiful.

Wan Saiful mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang menilai kemungkinan kerjasama dengan PN yang dipimpin Muhyiddin bagi menghadapi PRU15.