TAMBUN: Ahli parti tidak sepatutnya membuat ugutan sekiranya mereka tidak dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sebaliknya, mereka perlu akur dengan apa juga keputusan yang dibuat parti, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, mereka juga perlu memastikan calon yang diketengahkan parti memperolehi kejayaan.

"Pada saya, mana-mana ahli parti tidak sewajarnya membuat ugutan kepada parti.

"Dan kalau ada kalangan pemimpin yang sanggup meninggalkan parti jika tidak dicalonkan, dan menjadi calon Bebas, jelas bahawa pemimpin itu hanya berjuang untuk diri sendiri, bukan untuk kepentingan parti yang pernah diwakili pemimpin berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Belia Perak (PYC) di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan untuk meletakkan calon dalam pilihan raya adalah keputusan parti dan ia perlu disokong oleh ahli-ahli.

Pada Sabtu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberi bayangan sedia untuk bertanding atas tiket Bebas sekiranya tidak dicalonkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Sebagai Ahli Parlimen Bagan Serai sejak 2013, Noor Azmi berkata, beliau bersedia untuk dicalonkan semula di kawasan itu kerana sangat mengenali denyut nadi rakyat di situ.